ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 23 tong gas petroleum cecair (LPG), disyaki diseludup ke negara jiran menerusi Ops Landai selepas menahan dua lelaki, petang semalam, di Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dan merampas 23 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam dua kenderaan termasuk sebuah van sekolah, disyaki untuk diseludup ke negara jiran menerusi Ops Landai di Tawau, petang semalam.

Dua suspek masing-masing warga tempatan dan Indonesia berumur 31 dan 45 tahun itu ditahan di kawasan letak kereta Pasar Ikan Tawau berhampiran jeti lama, kira-kira 3 petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazri Ibrahim berkata, kedua-dua suspek menggunakan dua kenderaan untuk menyeludup keluar barang kawalan tersebut.

“Pemeriksaan terhadap sebuah van jenis Toyota Hiace (van sekolah) yang dipandu lelaki tempatan menemui 12 tong gas, manakala 11 lagi sembunyikan di sebalik kanvas di Toyota Hilux dipandu suspek warga Indonesia.

“Kedua-dua suspek tidak memiliki lesen berkaitan pemilikan barang kawalan atau surat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa keluar barang bersubsidi terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Nazri berkata, semua barang rampasan termasuk dua kenderaan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM79,140 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 9:33 AM