ABDUL Azeez. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Azeez. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


MULA berasa penat kerana bersidang sepanjang hari di Dewan Rakyat dan mengambil masa lama, Ahli Parlimen mahukan khidmat urut diadakan di Parlimen.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN UMNO-Baling) mencadangkan supaya kerajaan menyediakan khidmat urut kaki refleksologi di kawasan yang dibenarkan merokok di bangunan Parlimen untuk wakil rakyat ‘merehatkan’ badan.

Beliau berkata khidmat tukang urut refleksologi orang kurang upaya (OKU) lelaki dan perempuan boleh digunakan bagi tujuan itu sekali gus akan memberi pendapatan kepada golongan itu.

“Kita boleh bawa lelaki dan perempuan yang OKU.

“Petang-petang kita boleh urut kaki,” katanya ketika mencelah sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Dasar, hari ini.

Abdul Azeez berkata, beliau mencadangkan perkara itu memandangkan ramai dalam kalangan orang buta yang masih tidak mempunyai pekerjaan.

Vui Keong bagaimanapun berkata perkara itu boleh dipertimbangkan kerana blok baharu akan dibina di Parlimen yang mempunyai kemudahan kesihatan.

Katanya, tidak semestinya hanya mengurut badan membolehkan seseorang sihat sebaliknya perlu bersenam.

Bagaimanapun, Azeez mencelah dengan berkata beliau merujuk kepada urut kaki, bukan urut badan.

Vui Keong berkata urut kaki sahaja tidak cukup dan Ahli Parlimen juga harus bersenam untuk kekal sihat.

“Bersenam dan pastikan kita menggunakan alat-alat sukan,” katanya.

Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pula kemudian mencadangkan penyelesaian segera dengan meletakkan kerusi urut di Parlimen.

“Apa salah? Letak saja kerusi urut satu dua, bolehlah Ahli Parlimen hilang lenguh. Nak tunggu siap (bangunan) bila tu? Lambat lagi projek itu,” katanya.

Awang Hashim (PAS- Pendang) pula sependapat dengan Abdul Azeez bahawa menggunakan khidmat OKU dapat membantu pendapatan mereka.

“Kita bantu OKU, bagi sikit, dia ada pendapatan. Itu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 8:05 PM