GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang diburu selepas memukul rakannya dengan tukul dan parang akibat masalah hutang, ditahan polis di rumah di Taman Serai, Padang Serai, dekat Kulim, malam tadi.

Dalam kejadian 14 November lalu, suspek berusia 26 tahun bersama seorang lagi lelaki bertindak menyerang mangsa berusia 30 tahun itu di Jalan Batu 8, Kulim, selepas tidak berpuas hati kerana mangsa belum menjelaskan hutangnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah ditahan dua lelaki menaiki motosikal menyebabkan dia terjatuh.

Menurutnya, sebaik mangsa terjatuh, suspek terus menyerang dan memukul kepalanya dengan tukul dan parang menyebabkan dia cedera.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Lunas untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan memburu suspek sebelum seorang daripadanya ditahan malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan semakan juga mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah membabitkan dadah.

“Perintah tahanan reman akan dipohon hari ini, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 11:25 AM