SEBAHAGIAN daripada peserta berhimpun membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di perkarangan Masjid Negeri. semalam. FOTO Khairull Azry Bidin
Fazrik Kamarudin


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan keputusan sesetengah pihak untuk meneruskan perhimpunan meraikan kejayaan menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu dihormati.

Ini kerana perhimpunan yang dijangka diadakan pada 8 Disember depan adalah hak mereka dalam negara demokrasi.

“Perhimpunan itu adalah hak mereka, kabinet sudah putuskan secara konsensus, semua bersetuju untuk tidak tandatangani ICERD.

“Bagaimanapun, jika segelintir pihak masih mahu meneruskan perhimpunan, kita akan menghormatinya, ia adalah hak mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyertai Kejohanan Lasak Warrior Challenge di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai tanggapan keputusan itu adalah agenda politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Syed Saddiq berkata, kerajaan mempunyai banyak lagi isu yang perlu ditangani.

“Sejujurnya kerajaan ada banyak lagi perkara yang perlu dititik beratkan; daripada isu kos sara hidup, isu biasiswa pendidikan sehingga isu pengangguran belia, banyak lagi yang perlu diberi fokus.

“Seperti kementerian saya, kami sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah pengangguran, itu yang penting iaitu memberi fokus kepada isu sebenar,” katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri sudah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD.

Susulan itu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, walaupun PAS menyambut baik keputusan kerajaan itu, himpunan tolak ICERD yang dijadual 8 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang, namun format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantah ICERD.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 11:57 AM