SULTAN Nazrin bertitiah pada Majlis Perasmian Sambutan 135 Tahun Muzium Perak di Taiping. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin dan Farah Shuhaidah Othman

TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu yang boleh menjejaskan pembentukan negara bangsa yang berlaku ketika ini.

Baginda bertitah, walaupun pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan, pelbagai slogan direka cipta, pelbagai logo dilakar dan pelbagai lirik dikumandangkan bagi pembentukan negara bangsa, namun sehingga kini masih tidak memperlihatkan impak keberkesanan seperti yang diimpikan.

Titah baginda, slogan ke arah membentuk rakyat yang bersatu padu dalam sebuah negara merdeka akhir-akhir ini, lebih banyak menimbulkan keraguan, mengundang kontroversi serta semakin dipolemikkan dan dipolitikkan.

“Membina negara bangsa adalah satu proses kompleks, rumit serta berterusan. Semakin bertambah usia negara, warga bagaikan semakin lebih terpisah,” titah baginda ketika merasmikan sambutan 135 tahun Muzium Taiping di Taiping, hari ini.

Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak yang juga Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr Abdul Aziz Bari.

Sultan Nazrin justeru meminta komponen pengisian seperti membangunkan rakyat yang bersatu dan menjiwai semangat patriotik terhadap negara, harus diberi penekanan seimbang, ketika negara menumpukan usaha membangunkan ekonomi dan prasarana fizikal.

Titah baginda, dalam senario yang sedang berlaku sekarang, keperluan itu iaitu membangunkan rakyat yang bersatu dan menjiwai semangat patriotik terhadap negara, semakin diperlukan.

“Negara Malaysia telah 61 tahun merdeka dan ketika negara mencapai kemerdekaan, yang dilahirkan ketika itu ialah sebuah negara baru iaitu negara merdeka yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah yang ditetapkan, tetapi bangsa Malaysia belum wujud.

“Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 disusuli pembentukan Malaysia pada 1963 ialah pencapaian penubuhan sebuah negara merdeka, sementara membangunkan negara bangsa adalah proses yang masih dirintis, masih menghadapi pelbagai cabaran.

“Sangat dibimbangkan bahawa cabaran yang dihadapi dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang teguh bersatu dan kukuh berpadu, kini menghadapi ujian lebih getir serta bertambah rumit,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, institusi muzium berada dalam kedudukan yang dapat memperkenalkan langkah dan kegiatan serta membantu negara membina rakyat yang bersatu padu dan memiliki akar kesetiaan kukuh kepada negara di bawah naungan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, walaupun dalam kepelbagaian dan kelainan rakyat, daripada sudut kaum, agama dan kumpulan politik.

Menurut baginda, fungsi asal muzium untuk memelihara dan menjaga khazanah warisan negara, kini semakin ketara beralih peranan untuk memenuhi fungsi penyelidikan, pendidikan, pemasaran, teknologi dan inovasi.

Baginda bertitah, arus pemodenan dan gelombang globalisasi, menyaksikan berlaku perubahan kecenderungan, minat dan tumpuan pelawat iaitu berubah daripada sifat pengunjung yang pasif, sekadar melihat bahan yang dipamerkan, kepada pengunjung yang inquisitive dan interaktif.

“Oleh itu, muzium hendaklah berupaya memenuhi keperluan latar belakang pengunjung yang pelbagai, berfikiran lebih kritikal serta memiliki tahap literasi dan pengharapan yang lebih tinggi,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah, Muzium Perak ialah muzium tertua dan pertama di Semenanjung Malaysia diasaskan pada 1883 melalui idea yang dicetuskan oleh Residen Inggeris, Hugh Low.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 5:11 PM