Suzalina Halid


KERAJAAN negeri Kedah mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 golongan miskin tegar layak menerima bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu seperti yang diperuntukkan pada Belanjawan Kedah 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf berkata, sehingga kini faedah air percuma itu hanya dinikmati kira-kira 6,500 pengguna berdasarkan senarai Sistem Maklumat Kemiskinan Negara (eKasih).

Katanya, sehubungan itu golongan miskin tegar diminta tampil di pejabat daerah kawasan masing-masing bagi memastikan mereka tidak ketinggalan menikmati faedah yang diberi kerajaan negeri itu.

“Daripada data eKasih, terdapat seramai 30,000 yang mendaftar, namun kita dapati hanya kira-kira 6,500 saja layak mendapat bekalan air percuma 20 meter padu.

“Namun, melalui pembentangan Belanjawan Kedah 2019, kita bersedia memberikan faedah itu kepada 10,000 pengguna yang benar-benar layak,” katanya kepada NSTP di Alor Setar, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) menawarkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua 220,000 pengguna di bawah akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Namun, kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) merombak semula kaedah itu pada Ogos lalu apabila golongan yang benar-benar layak saja mendapatkan pengecualian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 5:36 PM