KESAN lebam pada mangsa. FOTO Facebook
Nurul Hidayah Bahaudin

BADAN dan muka dipenuhi dengan kesan lebam dan luka. Itu nasib menimpa dua beradik perempuan yang dipercayai didera pengasuh mereka sejak September lalu.

Menurut status dimuat naik ibu mangsa kanak-kanak masing-masing berusia tiga dan satu tahun itu di Facebook, semalam, memaklumkan dia menyedari terdapat kesan lebam pada anaknya setiap kali dia menjemput mereka dari rumah pengasuh.

Katanya, pengasuh itu memberikan alasan tidak menyedari kesan luka dan lebam dialami anaknya dengan memberi alasan kanak-kanak itu mungkin terjatuh ketika berada di bilik air.

"Anak ada memaklumkan, anak pengasuh lain menolak adik (anak kedua mangsa). Mereka dimarahi pengasuh dan dipukul. Malah, bibir adik (anak kedua) berdarah selain kesan lebam seakan ditampar pada pipi serta kaki penuh dengan kesan birat dipercayai dirotan.

"Pengasuh memaklumkan kesan terbabit akibat jatuh buai. Malah, sebelum ini kakak (anak pertama) ada lebam seluruh badan selain muntah yang dikatakan berpunca makan makanan pedas," katanya yang memaklumkan membawa anaknya ke klinik di Bandar Baru Sungai Buloh berhubung kesan cedera itu.

Difahamkan ibu mangsa menyedari kejadian itu bermula September hingga awal November lalu sebelum membuat laporan kepada pihak polis, semalam, selepas mendapati terdapat kesan lebam pada muka dan badan anaknya selain luka pada bahagian bibir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan. Buat masa ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat.

"Namun, individu yang dipercayai terbabit dalam kes ini sudah dikenal pasti serta dalam tindakan pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 3:29 PM