Mohd Fahmi Mohd Yusof


“SAYA dan Raja Zarith Sofiah tak sabar-sabar nak bertemu rakyat di semua daerah,” titah Sultan Ibrahim Iskandar sebelum memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, hari ini.

Sultan Ibrahim bersama konvoi Diraja Johor berlepas dari Istana Pasir Pelangi pada 8.15 pagi tadi menuju ke Kampung Temenin Baru di Kota Tinggi.

“Hari ini hari pertama KMJ bagi tahun ini. Cuaca pagi ini panas sikit, namun perjalanan akan tetap diteruskan,” titah baginda yang dimuat naik dalam laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim.

Turut berangkat, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Dennis Muhammad Abdullah.

Sementara itu, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim turut menyertai KMJ 2018 dengan mengetuai kumpulan bermotosikal yang memulakan konvoi lebih awal pada 8 pagi tadi.

KMJ 2018 yang membuka tirainya hari ini akan membabitkan perjalanan sejauh 777 kilometer dan akan berlangsung sehingga Rabu ini.

Tahun ini, KMJ yang memasuki edisi penganjuran ke-21 menyaksikan sedikit kelainan apabila tiada sebarang majlis gimik pelepasan seperti diadakan tahun sebelumnya.

Kereta beroda tiga buatan Britain yang direka khas mengikut spesifikasi baginda itu akan digunakan sepanjang tiga hari KMJ berlangsung selain baginda turut berkenan memandu kereta api pada hari esok.

Hari pertama KMJ membabitkan perjalanan sejauh 270 kilometer menyaksikan rombongan singgah ke Kampung Temenin Baru dan Kampung FELDA Air Tawar 3 di Kota Tinggi, Pantai Sekakap di Kampung Sri Pantai, Mersing sebelum ke lokasi terakhir di Laman Kampung Melayu, Kluang.

Beberapa program bersama rakyat dijadualkan akan berlangsung di semua lokasi hentian KMJ edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 10:12 AM
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini memulakan jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 membabitkan perjalanan sejauh 777 kilometer yang akan berlangsung sehingga Rabu ini dengan memandu rekaan khas kereta roda tiga Morgan. FOTO Mohd Azren Jamaludin