BOT nelayan dari China yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Penyusup, Pengerang, semalam. Foto Ihsan MARITIM MALAYSIA
BOT nelayan dari China yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Tanjung Penyusup, Pengerang, semalam. Foto Ihsan MARITIM MALAYSIA
Mary Victoria Dass


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi menahan sebuah bot nelayan China kerana berada dalam perairan negara tanpa kebenaran.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, bot terbabit ditahan di kedudukan 3.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Penyusup, Pengerang jam 5 petang semalam.

“Kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi mendapati kapal berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan mendapati bot yang berdaftar di Fuzhou, China itu membawa 10 kru berusia antara 21 tahun hingga 53 tahun, namun tiada sebarang hasil tangkapan ditemui.

“Bagaimanapun, kapal yang dipercayai belayar dari China didapati gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki perairan perikanan Malaysia dan tiada kebenaran bersauh,” katanya.

Mohd Zulfadli berkata, ia juga tidak memiliki dokumen lengkap berkaitan kapal, kru serta belayar tanpa nakhoda.

“Kesemua kru bot ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen16 (3) Akta Perikanan 1985, Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

Jika sabit kesalahan, kru yang bertindak sebagai nakhoda boleh didenda sehingga RM1 juta dan RM 100,000 bagi kru yang lain serta kapal boleh dilucutkan hak.

Tangkapan itu adalah kali keenam untuk tahun ini bagi kes yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 6:29 PM