FARID ditemani isteri Datin Diana Daniele .FOTO Supian Ahmad
Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil akan membuat pengakuan bersalah sekiranya representasi bagi menggugurkan dan mengurangkan lima pertuduhan jenayah dihadapinya diterima Pejabat Peguam Negara.

Perkara itu dimaklumkan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil pada hari pertama perbicaraan lima kes tersebut di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Terdahulu, Megat Syazslee, representasi itu dihantar pada Jumaat (23 November lalu) kepada Pejabat Peguam Negara dan dalam prosiding hari ini, beliau memohon untuk penangguhan perbicaraan sehingga keputusan mengenai representasi itu diterima.

“Sekiranya representasi berjaya, anak guam saya ingin mengaku bersalah dan ini sekali gus dapat mengurangkan kos dan masa mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran berkata, pihak pendakwaan mengesahkan sudah menerima representasi itu pada lewat petang Jumaat lalu.

“Pihak pendakwaan masih belum sempat meneliti keseluruhan dokumen itu namun bagi perbicaraan pada hari ini, empat saksi hadir untuk memberi keterangan.

“Justeru, saya serahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya perbicaraan kes ini ingin ditangguhkan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kepada 6, 12, 13 dan 14 Disember depan.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Januari lalu, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan membuat keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis yang mendakwa dirinya dianiaya apabila minumannya dimasukkan dadah oleh tiga rakannya termasuk pelakon Sofi Jikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 5:33 PM