ANGGOTA polis dan Polis Bantuan LITRAK melakukan kerja pembersihan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, hari ini. Foto SADDAM YUSOFF
Mohd Husni Mohd Noor


TUN Dr Mahathir Mohamad menjelaskan tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu agama berhubung rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, sebaliknya ia berkaitan perpindahan kuil.

Perdana Menteri berkata, berikutan itu, polis diarahkan untuk mengambil tindakan lanjut berhubung isu berkenaan kerana ia berkaitan jenayah selain menangani serta mengawal situasi dengan segera.

Menurutnya, beliau sudah dimaklumkan oleh polis mengenai perkembangan terkini siasatan kejadian berkenaan.

“Saya mengikuti perkembangan yang berlaku membabitkan kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada Isnin lalu

“Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang membabitkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab oleh penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil, selain mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat dalam rusuhan itu.

Dr Mahathir berkata, penjenayah yang melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk merosakkan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.

“Dalang di sebalik kejadian ini tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

“Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media sosial,” katanya.

Katanya, beliau menegaskan kejadian berkenaan sebagai insiden jenayah dan tiada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:04 PM