BEBERAPA trak polis diletakkan berhampiran One City sebagai langkah keselamatan berikutan rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, malam ini. Foto KHAIRUL AZHAR AHMAD
Fairul Asmaini Mohd Pilus


INDIVIDU yang diisytiharkan sebagai pentadbir sah Kuil Sri Maha Mahariamman di USJ 25, Subang Jaya, K Chelappa merayu penganut Hindu supaya mematuhi penghakiman persetujuan yang diputuskan sebelum ini di mana kuil terbabit bersetuju berpindah daripada tanah berkenaan.

“Marilah kita bersatu sebagai masyarakat Hindu yang berdisiplin dan biarkan kuil Sri Maha Mariamman dipindahkan tanpa sebarang halangan.

“Ia bagi membolehkan kita berkhidmat kepada penganut Hindu di tempat yang lebih baik dan selamat dengan lebih banyak kemudahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Chelappa, kuil terbabit dibina pada 1974, manakala pengurusan jawatankuasa kuil itu ditubuhkan dan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1996.

Katanya, ketika itu, dia dilantik sebagai Presiden, manakala M Nagaraju adalah Setiausaha.

Katanya, kuil berkenaan terletak di atas tanah milik One City Development Sdn Bhd (One City) dan dia sebelum ini memperoleh injunksi untuk menghentikan kerja meroboh kuil itu oleh pemaju.

“Selepas beberapa tahun melalui proses perundangan, kami akhirnya bersetuju untuk berpindah demi kebaikan semua pihak.

“Keputusan itu dicapai selepas saya sebagai penjaga serta wakil kuil yang sah, bersetuju dengan terma yang dikemukakan dan ia turut dipersetujui oleh Nagaraju termasuk beberapa pihak lain.

“Ia juga adalah persetujuan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac 2014,” katanya.

Menurutnya, pemilik tanah turut bersetuju menyediakan lokasi alternatif di USJ23 seluas kira-kira 0.4 hektar selain mendermakan RM2.5 juta bagi membantu kos pemindahan dan pembinaan kuil baharu.

Kata Chelappa, sebuah kuil baharu dengan pelbagai kemudahan juga dibina di Putra Heights, USJ 23 pada 2017 dan ia sudah pun digunakan oleh masyarakat Hindu di kawasan terbabit.

“Meskipun diisytiharkan sebagai penjaga kuil yang sah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, saya berdepan dengan masalah dalaman apabila Nagaraju meletak jawatan.

“Ekoran itu, keahlian Nagaraju dilucutkan pada 2001, dia dan rakannya kemudian memaksa saya serta ahli jawatankuasa lain supaya mengosongkan kuil sebelum mereka mengambil alih.

“Mereka turut mengancam keselamatan selain memberi amaran kepada saya dan ahli jawatankuasa lain supaya tidak memasuki kuil itu lagi,” katanya.

Chelappa berkata, Nagaraju bersama kumpulan terbabit kemudian menubuhkan sebuah pasukan khas dan bertindak mengingkari arahan yang diputuskan oleh mahkamah.

Menurutnya, Nagaraju serta beberapa pihak lain turut mengemukakan lapan saman terhadap dirinya dan pihak pemaju, namun semua kes digugurkan oleh mahkamah dengan kos.

Katanya, pihaknya menganggap keputusan penghakiman sebelum ini adalah harapan Tuhan kerana Tuhan ingin berada di tanah dan rumahnya sendiri.

“Marilah kita semua (penganut Hindu) menghormati keputusan Tuhan secara aman untuk berpindah ke kawasan baharu.

“Kita juga perlu menghormati penghakiman mahkamah dan undang-undang. Apa yang perlu diberi perhatian bahawa tapak baharu di Putra Heights juga akan digazetkan sebagai tanah kuil,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 10:05 PM