MAZLAN menunjukkan barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Jalil ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sewa banglo mewah di Jalan Bukit Jalil di sini, sebagai pusat panggilan judi dalam talian dengan mengumpul pertaruhan hampir RM6 juta sejak dua minggu lalu.

Itu antara kegiatan sindiket judi dalam talian didalangi warga China yang menarik 200,000 kaki judi di China.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil risikan dan maklumat diterima, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di lokasi itu pada jam 2.30 petang.

“Hasilnya polis menahan 11 lelaki dan enam wanita warga China berusia antara 19 hingga 43 tahun yang berperanan sebagai penjaga serta pengurus dalam kegiatan judi dalam talian itu.

“Kami turut merampas 15 komputer riba, 66 telefon bimbit, lima modem pelbagai jenama dan alatan elektronik dalam operasi itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mazlan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat panggilan bagi mengendalikan pemain judi dalam talian dari China.

“Sindiket ini mempromosikan kegiatan itu melalui aplikasi WeChat sebelum pemain diberikan pautan ke laman sesawang judi ditawarkan. Pemain diberikan arahan untuk memasukkan wang ke dalam akaun bagi mendapatkan kredit dengan kadar minimum RM1 bagi satu kredit.

“Dianggarkan 200,000 pemain membabitkan transaksi berjumlah RM6 juta melalui aktiviti judi dalam talian dijalankan sindiket berkenaan sejak mereka aktif dua minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Petaling untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek direman 18 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan judi dalam talian di sekitar ibu kota ini diminta menghubungi Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian, Maksiat (D7) Polis Kuala Lumpur di talian 03 21460649,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 10:57 AM