ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Sultan Iskandar, Bintulu. FOTO Erika George
Erika George

TINDAKAN pantas bapa melindungi anak-anaknya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Jalan Sultan Iskandar, Bintulu, malam tadi, menyelamatkan dua anaknya.

Bagaimanapun, Hwang Huat Kwong, 41, dilaporkan parah di kepala, manakala Rachel Hwang Siaw Ching, 13, dan Alvin Hwang 10, hanya cedera.

Dalam kejadian 7 malam itu, Huat Kwong bertindak memeluk kedua anaknya apabila kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, dua jentera, termasuk sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan yang remuk sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS, seterusnya dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar sebelum hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum terbabas,” ujarnya.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan yang hampir meragut nyawa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 2:19 PM