FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my

AKIBAT merakam dan memiliki gambar lucah rakan wanita serumahnya, seorang tukang masak dijatuhi hukuman denda RM7,100 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Ong Siew Khong, 38, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbitnya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah berkelakuan aib dan tidak senonoh dengan merakam gambar wanita seorang wanita warga Filipina yang juga pekerja restoran ketika sedang mandi.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan SS 22/5, Damansara Jaya, di sini, antara 11.30 pagi dan 1.45 tengah hari, 21 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua, didenda maksimum RM100 atau sebulan penjara, jika denda gagal dibayar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam.

“Dalam kes ini, ketenteraman mangsa telah diganggu kerana wanita itu sedang mandi apabila menyedari tertuduh merakamnya.

“Justeru, mohon satu hukuman yang dapat menginsafkan tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf selain berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 4:07 PM