PENGUNJUNG bersiar-siar sambil menikmati pemandangan tepi laut di Rumah Merah di Jeti Tan, Pengkalan Weld, Georgetown yang semakin popular kebelakangan ini berikutan hampir sama dengan lokasi ikonik Crawley Edge Boatshed atau Blue Boat House di Perth, Australia. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


JIKA di Perth, Australia ada Crawley Edge Boatshed atau Blue Boat House, Pulau Pinang pula ada Red Boat House atau Rumah Merah di Jeti Tan, Pengkalan Weld yang kini semakin popular sebagai tarikan di Bandaraya Georgetown.

Rumah Merah itu sebenarnya tokong bagi masyarakat Cina terletak di perkampungan nelayan di Jeti Tan, Pelabuhan Weld dan sudah wujud sejak 1879.

Penjaganya, Tan Joo Tatt, 56, berkata pada asalnya jeti terbabit adalah antara pelabuhan bagi mengangkut dan memunggah hasil dagangan ke kapal.

Katanya, perkampungan yang diasaskan bapa saudaranya, mendiang Tan Bee Eng itu kini mempunyai 11 rumah terdiri daripada keluarga keturunan Tan dan turut menjadi antara enam perkampungan nelayan warisan di bandar raya ini.

“Tokong terbabit sudah lama dibina namun popular sejak awal tahun ini berikutan ia dikatakan hampir sama dengan Blue Boat House.

“Pengunjung adalah dalam kalangan rakyat tempatan serta luar negara termasuk China, Taiwan dan Indonesia.

“Lokasi ini semakin popular, sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan di sini, malah ada yang mengabadikan foto pra perkahwinan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata, beliau bimbang pada hari minggu dan cuti sekolah berikutan jeti itu dikhuatiri tidak dapat menampung kapasiti pengunjung yang ramai.

Menurutnya, lokasi itu kini hanya dibuka bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari bagi menjamin keselamatan penduduk dan pengunjung terutama pada waktu malam.

Katanya, sering berlaku kejadian harta benda pengunjung seperti telefon bimbit terjatuh ke dalam laut menyebabkan mereka terutama kanak-kanak dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri sepanjang berada di kawasan itu.

“Pagar sudah dipasang pada April lalu kerana bimbang keselamatan pengunjung berikutan kawasannya yang sedikit gelap dan ancaman individu tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah memohon peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM100,000 bagi membaikpulih beberapa struktur yang rosak bagi menjamin keselamatan pengunjung dan penduduk,” katanya.

Pengunjung dari Indonesia, Ria Riana Irawan, 30, berkata dia ke Georgetown untuk melawat adiknya yang bekerja di Bayan Baru dan mengetahui mengenai Rumah Merah menerusi perkongsian di media sosial.

“Saya sudah datang pada pagi semalam (kelmarin), namun hampa kerana kawasan sekitarnya berlumpur berikutan air laut belum pasang.

“Saya belum berpeluang ke Blue Boat House, tetapi dapat ke sini sudah cukup kerana pemandangannya hampir sama dan cantik,” katanya.

Di Pengkalan Weld, selain Jeti Tan, terdapat lima lagi jeti membabitkan perkampungan terapung terdiri daripada keluarga berketurunan Lim, Chew, Lee, Yeoh dan satu lagi keturunan campuran dipanggil ‘Mixed Clan Jetty’ dan semuanya kini menjadi lokasi pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 5:06 PM