Noor Azlan. FOTO FB UKM
Mohamad Ridzuan Mohd Anwar dan Ahmad Ajwad Azman

PERKHIDMATAN Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali akan berakhir pada hujung tahun ini selepas kontroversi tindakan beliau menghalang wacana membabitkan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Menerusi kenyataan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan melantik Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai Naib Canselor baharu bagi menggantikan Noor Azlan.

“Pihak universiti sudah memaklumkan bahawa tempoh perlantikan Noor Azlan sebagai Naib Canselor UKM akan berakhir pada 31 Disember 2018.

“Saya bagi pihak ahli Lembaga Pengarah UKM dan warga UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Noor Azlan atas komitmen dan sumbangan besar yang diberikan dalam membangunkan UKM kepada kedudukan cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau selama 5 tahun sebagai naib canselor.

“Pihak universiti juga ingin mengumumkan bahawa Menteri Pendidikan melantik Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai Naib Canselor UKM yang baru berkuat kuasa mulai 1 Januari depan hingga 3 Disember 2021,” katanya.

Terdahulu, Maszlee menegur tindakan Noor Azlan yang menghalang wacana membabitkan Hishamuddin itu supaya tidak menutup ruang intelektual di universiti.

Katanya, tidak perlu timbul soal membuat permohonan atau tidak kerana universiti adalah ruangan intelektual.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, UKM tiada halangan untuk mahasiswa menjalankan aktiviti tetapi kesemua program perlu dimaklumkan terlebih dahulu melalui proses pendaftaran bagi memudahkan atur cara program dan kesesuaian tempat kemudahan.

Dalam pada itu, memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Noor Azlan memohon maaf atas kekurangan dan silapnya sepanjang menjalankan tugas, malah akan memberikan sepenuhnya sokongan kepada kepimpinan baru.

“Semoga UKM terus hebat dan cemerlang pada 1 Januari 2019, saya akan kembali menjalankan tugas di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, UKM.

“Saya juga mengucapkan terima kasih atas peluang berharga untuk berkhidmat di universiti hebat ini.

“Saya sangat hargai atas nasihat, kerjasama yang diberikan. Ia adalah tugas mencabar, tetapi diberi ganjaran untuk mendapatkan pengalaman dan peluang yang hebat untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.

Noor Azlan berkata, beliau turut berbangga dengan pencapaiannya yang berjaya menaikkan UKM ke kedudukan 184 dunia daripada 312 sejak sejak mengambil alih pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 6:19 PM