AHMAD Faizal (dua kiri), Jimmy Choo (dua kanan), Mohd Ariff (kiri) dan Jimmy Chia menunjukkan koleksi kasut rekaan Jimmy Courture di Ipoh, hari ini. Foto MUHAIZAN YAHYA
Muhammad Apendy Issahak


KERAJAAN Perak dengan kerjasama sektor industri pembuatan kasut merancang mewujudkan ‘Bandar Kasut Ipoh’ membabitkan kompleks kilang pembuatan kasut serta akademi kasut pertama di Malaysia di kawasan seluas 80 hektar di Bandaraya Ipoh.

Lebih menarik akademi berkenaan mungkin akan dinamakan sempena ikon fesyen terkenal dunia, Prof Datuk Jimmy Choo dalam melahirkan modal insan khususnya usahawan muda dalam bidang fesyen selain menarik minat pelabur sektor pembuatan kasut.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha menjadikan Ipoh sebagai bandar raya pembuatan kasut yang terulung di negara ini dan akan memberi kerjasama dalam merealisaikannya.

Katanya, langkah awal menjayakan projek itu adalah melalui perjanjian usahasama yang dibuat di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bersama Jimmy Couture Trend Sdn Bhd dalam membesarkan kilang perusahaan kasut syarikat berkenaan di bandar raya ini.

“Kami berbincang banyak idea antaranya untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya pembuatan kasut yang terulung di negara ini, tetapi paling menarik pada saya adalah idea untuk mewujudkan satu akademi pembuatan kasut.

“Mereka berhasrat ingin memulakan akademi ini dan kerajaan negeri menyambut baik serta akan meneruskan perbincangan untuk merealisasikannya bagi memberi peluang kepada anak muda menceburi dalam bidang pembuatan kasut,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKNP yang diwakili Ketua Eksekutifnya Mohd Ariff Yeop Ishak manakala Jimmy Couture diwakili pengasasnya Jimmy Eng Huat, hari ini.

Turut hadir, pereka kasut terkenal Jimmy Choo sendiri.

Ahmad Faizal berkata, industri pembuatan kasut dan fesyen mampu memberikan pulangan ekonomi tinggi dan kerajaan negeri juga sedang berusaha menjadikan negeri ini sebagai lokasi yang perlu dilawati orang ramai termasuk pelancong luar negara.

“Apabila ini menjadi realiti maka produk seperti kasut buatan Perak ini akan menjadi satu produk yang mesti dibeli pengunjung kelak dan ia (kasut) juga akan menjadi sebagai satu tarikan.

“Bantuan semua pihak diperlukan untuk menaikkan industri ini dan inilah yang kita sedang beri perhatian serius serta kerjasama daripada semua terutama pemain industri pasti akan berjaya sekali gus menaikkan nama Perak serta negara di persada dunia,” katanya.

Sementara itu, Jimmy Choo berkata, beliau yakin rakannya Jimmy Chia akan berjaya memajukan industri pembuatan kasut berkenaan dan beliau akan membantu dalam mempromosikan produk negara.

“Sudah tujuh tahun, saya menjadi duta pelancongan negara dan saya pasti akan promosikan Malaysia kepada dunia, ini adalah tanah air saya.

“Ipoh boleh jadi bukan sahaja tumpuan pelancongan, tetapi budaya, pendidikan, kita mahu lihat artis atau pereka fesyen dilahirkan di sini, dan semua ada peranan di mana tiada yang mustahil jika kita ada latihan yang baik, ada rakan atau pihak yang membantu pasti akan ada kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:51 PM