ZAIDI (tengah) yang patah kaki kanan diberi bantuan awal selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung dalam kemalangan di Kilometer 315 LPT2 dekat Kerteh, hari ini. FOTO Rosli Ilham.


PEGAWAI Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 315 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kerteh, hari ini.

Dalam kejadian 2.35 petang itu, mangsa, Zaidi Ibrahim, 48, yang patah kaki kanan dan mengalami kecederaan lain dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

Sementara itu, Abdul Aziz Abas, 38, yang memandu Toyota Fortuner itu cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari arah Kijal ke Kerteh itu terbabas dan merempuh besi penghadang jalan.

Berikutan itu, kenderaan terbabit terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter sebelum terbalik.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kerteh, Pegawai Bomba Kanan 11 Mohd Nazri Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.40 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera bomba dan ambulans EMRS dengan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 8:47 PM