IBU yang sedang sarat mengandung anak keempat, Siti Nur Ashima Makhatar, 28 sedih apabila melihat penderitaan bayi perempuannya, Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus berusia setahun yang disahkan menghidap kanser tisu tahap empat, sejak Mei lalu ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. FOTO Zaman Huri Isa
IBU yang sedang sarat mengandung anak keempat, Siti Nur Ashima Makhatar, 28 sedih apabila melihat penderitaan bayi perempuannya, Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus berusia setahun yang disahkan menghidap kanser tisu tahap empat, sejak Mei lalu ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


BERAT dugaan yang terpaksa dihadapi ibu apabila melihat penderitaan bayi perempuannya berusia setahun yang disahkan menghidap kanser tisu tahap empat, sejak Mei lalu.

Dalam keadaan sedang sarat mengandung anak keempat, Siti Nur Ashima Makhatar, 28, hanya mampu bersabar melihat anaknya Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus sering menangis kesakitan.

Hanya ubat penahan sakit yang mampu meredakan sementara kesakitan dialami anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Suaminya, Mohd Firdaus Abdul Rahim, 32, yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan pula terpaksa berulang alik dari rumah di Kampung Kubang Golok, Bachok ke hospital dengan motosikal kerana pada masa sama perlu menjaga dua lagi anak berusia lapan dan tiga tahun.

Siti Nur Ashima berkata, pada mulanya anaknya diserang demam panas berpanjangan pada April lalu sebelum timbul benjolan di bahagian kiri leher yang dilihat semakin membesar.

“Saya membawa anak ke klinik berhampiran dan doktor memberi ubat antibiotik.

“Melihat keadaan anak tidak berubah saya membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Selepas sampel diambil, doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser tisu,” katanya ketika ditemui di HUSM di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sejak Mei lalu, Nur Syifa sudah tujuh kali menjalani rawatan kimoterapi, namun keadaan tidak banyak berubah.

“Malah, setiap hari benjolan di lehernya semakin membesar dan kini anak saya terpaksa bergantung dengan susu kerana tidak mampu menelan makanan,” katanya.

Dijangka melahirkan anak pada Disember ini, Siti Nur Ashima berkata, dia akan terus menjaga Nur Syifa biarpun dalam keadaan berpantang.

Katanya, dia baru memperoleh bantuan Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-kanak (PEKA) HUSM dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) untuk menampung kos rawatan anak.

“Bagaimanapun, untuk susu dan lampin pakai buang, saya perlu guna duit sendiri yang kini diperoleh dari bantuan keluarga dan orang ramai,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Islam 03111020184189 milik Siti Nur Ashima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 9:40 AM