DUA individu yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


DUA lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Tobo-Tobo, dekat Semporna, petang semalam.

Mereka ditahan sepasukan anggota PPM Semporna ketika menjalankan Ops Pensura di kawasan itu kira-kira 3 petang, susulan maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM).

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika ditahan, suspek berusia 18 dan 50 tahun yang menggunakan sebuah bot pam dipercayai menjalankan aktiviti mengebom ikan.

Katanya, kedua-dua suspek juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam bot pam menemui satu propeller, peralatan menyelam dan satu jerikin minyak petrol disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui 20 kilogram ikan pelbagai jenis disyaki hasil daripada aktiviti berkenaan.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan termasuk bot bersama satu unit enjin sangkut dianggar berjumlah RM4,300.

“Rampasan dan tangkapan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 11:29 AM