Amin Ridzuan Ishak

BARISAN Nasional (BN) Pahang terkejut dengan pengisytiharan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan keputusan Parlimen Cameron Highlands yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun pihaknya menerima dengan terbuka keputusan itu dan percaya penyandang kerusi, Datuk C Sivarrajh yang juga Naib Presiden MIC akan membuat rayuan.

“Sungguhpun terkejut dengan keputusan ini tetapi saya dan rakan-rakan dalam BN menerimanya dengan hati terbuka,” katanya dalam kenyataan media di Kuantan hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang dimenangi Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh calon BN itu.

Dalam penghakimannya, Azizah berpandangan bahawa pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, pihaknya akan segera memanggil mesyuarat khas BN negeri bagi membincangkan perkara itu dan persiapan perlu dilakukan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai yang terletak di bawah Parlimen Cameron Highlands percaya, BN masih kukuh dan mampu digerakkan secara berkesan bagi menghadapi PRK berkenaan.

Pada PRU-14, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 5:51 PM