(DARI kiri) Abdul Azeez, Ismee dan Johan. FOTO Arkib NSTP
(DARI kiri) Abdul Azeez, Ismee dan Johan. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Fahd Rahmat


LEMBAGA Tabung Haji (TH), hari ini membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta empat pengurusan kanannya.

Pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) itu ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Datuk Adi Azuan, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-Undang Hazlina Mohd Khalid serta Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan dana Program Yayasan Tabung Haji 2017 apabila sejumlah RM22 juta digunakan untuk pembiayaan politik yang bertentangan dengan Memorandum dan Artikel (M&A) penubuhan YTH.

Ketika itu, Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi dan Rozaida adalah Pemegang Amanah YTH.

YTH ditubuhkan pada 2016 untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan termasuk bantuan kemanusiaan, menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan, miskin dan memerlukan.

TH menyumbangkan sebanyak RM7 juta melalui program itu.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina kerana memberi gambaran salah serta menyembunyikan maklumat penting dalam penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta.

PT TH Indo Plantations memiliki ladang sawit seluas 83,000 hektar di Indonesia.

Laporan yang dibuat itu adalah hasil siasatan dalaman pertama oleh pengurusan baharu yang mengambil alih TH sejak Julai lalu terhadap transaksi yang dijalankan pengurusan lama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 10:45 PM
Digital NSTP Subscribe