HARDI (kiri) dan Ekhwan Haque bersama anugerah yang dimenangi pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2018 di Sibu, semalam. FOTO Jannah Kho
HARDI (kiri) dan Ekhwan Haque bersama anugerah yang dimenangi pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2018 di Sibu, semalam. FOTO Jannah Kho


WARTAWAN Harian Metro (HM), Ekhwan Haque Fazlul Haque menang tempat pertama Anugerah Kewartawanan Kelestarian Bahasa Melayu sempena Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2018 di Sibu, semalam.

Kemenangan itu diperoleh menerusi laporan bersiri usaha pemuliharaan Orang Utan, '97 peratus DNA Kita' dan 'Janji Berdikari'.

Beliau turut memenangi tempat ketiga bagi kategori Anugerah Kewartawan Bahasa Melayu menerusi laporan bersiri, 'Pencuri Robek Hasil Hutan' dan 'Rakus Ratah Hasil Hutan' yang disiarkan dalam kolum Flora & Fauna.

Sementara, laporan khas 'Perginya Seorang Negarawan' memenangi Anugerah Laporan Berita Terbaik Bahasa Melayu.

Berkisarkan pengorbanan dan sumbangan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, laporan oleh wartawan, Hardi Effendi Yaacob, Mohd Roji Kawi dan Muhd Amirul Faiz Ahmad itu disiarkan Berita Harian sehari selepas kematian pemimpin berjiwa rakyat itu.

Hardi juga memenangi tempat ketiga bagi Anugerah Kewartawanan Perniagaan dan Ekonomi menerusi laporan bertajuk 'KL, Jakarta Tangani Isu Sekatan Sawit EU'.

The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) turut mengungguli tempat ketiga kategori sama melalui laporan khas berjudul 'Teksi Sapu Indonesia Bebas Masuk Sarawak', juga disiarkan Berita Harian, yang membongkar kegiatan haram itu hingga menjejaskan pemandu teksi tempatan.

Manakala, wartawan New Straits Times (NST), Goh Pei Pei memenangi tempat kedua bagi kategori Anugerah Kewartawanan Kelestarian Bahasa Inggeris menerusi artikel bertajuk 'Growing Superworms For The Future'

Anugerah disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Sementara itu, Uggah dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada pengamal media kerana mengamalkan etika kewartawanan dalam menyampaikan maklumat tepat selain memainkan peranan signifikan kepada pembangunan negeri dan masyarakat.

“Kita memerlukan wartawan berkreadiliti untuk memastikan berita dan maklumat yang dilaporkan tepat kepada masyarakat.

“Pengaruh sosial media berkembang dengan begitu pantas menyebabkan maklumat lebih mudah disampaikan, namun apa yang dikhuatiri terdapat berita tidak benar tersebar di alam maya.

“Profesionalisme dalam bidang kewartawanan diperlukan mengikut etika supaya berita bersifat adil kepada semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 12:55 AM