MANOGARAN. FOTO Arkib NSTP
T.N. Alagesh
cnews@nstp.com.my


CALON Pakatan Harapan bagi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, M Manogaran adalah calon terbaik sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi itu diadakan.

Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah berkata, beliau secara peribadi berpendapat Manogaran yang sudah dua kali bertanding di kerusi berkenaan harus diberikan peluang mewakili PH bagi merampas kerusi terbabit.

“Manogaran harus diberikan peluang walaupun tewas dua kali di kerusi sama kerana beliau sudah berkhidmat untuk komuniti di kawasan itu. Saya pernah bekerja bersamanya ketika menjadi Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata.

"Beliau seorang yang berdedikasi, bersemangat dan komited membantu rakyat, bagaimanapun keputusan akhir ada pada tangan pemimpin PH dan DAP.

"Sekiranya parti mempunyai calon sesuai yang dirasakan mempunyai peluang menang di Cameron Highlands, terpulang kepada mereka untuk mencalonkan individu berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya semalam mengisytiharkan keputusan PRU-14 bagi Parlimen Cameron Highlands yang memberikan kemenangan kepada BN terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan calon Barisan Nasional, Datuk C Sivarraajh.

Pada PRU-14, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Sementara itu, Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam berkata, pihaknya akan membuat persediaan sepatutnya sementara menunggu keputusan rayuan yang akan dibuat oleh Sivarajjh.

“Sivarrajh adalah antara pemimpin muda yang lantang, MIC Pahang yakin rakyat di Cameron Highlands berkeyakinan dengan kemampuannya dan perkhidmatannya,” katanya.

Berita berkaitan

PRK di Cameron Highlands pula...

PRK Cameron Highland: BN terkejut tapi siap sedia

Sivarraajh kemuka rayuan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 2:51 PM