(DARI kiri) Zainab dan Mohd Firdaus (dua kiri) manakala Mohd Azlan Shah @ Mohd Edham Shah (dua kanan) bersama Nor Alia Syuhadah. Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DETIK bersejarah persandingan dua pasangan pengantin yang keempat-empatnya adalah orang kurang upaya (OKU) meriah apabila disandingkan serentak di Kampung Selinsing, Bagan Serai, hari ini.

Pasangan terbabit, Nor Alia Syuhadah Ahamed, 21, dan suami Mohd Azlan Shah @ Mohd Edham Shah Shafudin, 34, dari Kuala Lumpur bersanding bersama kakak angkatnya Zainab Abdullah, 22, serta pasangannya Mohd Firdaus Mohamad, 26, dari Kedah.

Majlis persandingan dua pasangan istimewa yang mengalami masalah penglihatan sejak dilahirkan berlangsung dengan dihadiri lebih 1,500 tetamu di rumah pengantin perempuan.

Menurut ibu mempelai perempuan, Zaiton Hamid, 43, pihaknya gembira dan bersyukur apabila melihat anak dan anak angkatnya bertemu jodoh dengan pilihan hati masing-masing.

“Ini menjadi detik paling bersejarah dan bermakna dalam hidup kami sekeluarga kerana menerima dua menantu serentak.

“Biarpun masing-masing ada kekurangan, tapi kami doa agar mereka bahagia dan jodoh berkekalan hingga akhir hayat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut memeriahkan majlis perkahwinan pasangan istimewa berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing Mohamad Noor Dawoo.

Sementara itu, Nor Alia Syuhada yang ditemui tersipu malu dan hanya mengatakan applikasi Whatsapp menjadi medan jalinan hubungannya dengan suami yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 8:54 PM