Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


“ADIK kata dia nak cari kerja dan kami jumpa dia dekat pasar malam Taman Ria ketika sedang membantu kawannya menjual sayur.

Begitu kata Mohd Safar Che Aad, 21, abang kepada Fatin Najwa, 16, yang menghilangkan diri sejak semalam selepas dikatakan keluar dari rumah untuk ke kedai runcit berhampiran.

Mohd Safar berkata, adik bongsunya itu ditemui selepas dimaklumkan oleh rakannya yang kebetulan berada di pasar malam berkenaan.

“Kawan ada menelefon saya memaklumkan terjumpa adik di pasar malam berkenaan. Saya terus bergegas ke sana dan memang betul itu adik saya.

“Adik beritahu semalam dia tidur di rumah kawan dia, dan dia berhasrat nak bekerja dengan kawannya sebagai penjual sayur,” katanya.

Katanya, biarpun marah dengan tindakan adiknya yang tidak memaklumkan keadaannya sehingga membimbangkan ahli keluarga, namun mereka bersyukur kerana Farah ditemui dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan penemuan gadis terbabit, kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Katanya, gadis berkenaan sedang dibawa oleh keluarganya untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang gadis didapati menghilangkan diri sejak semalam selepas keluar dari rumah di Sungai Jagung, Sungai Petani untuk ke kedai runcit berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 10:11 PM