LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai polis sudah mengesahkan menerima dua laporan mengenai Tabung Haji.
Syalikha Sazili


BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sebelum ini lantang menyuarakan mengenai kepincangan kewangan Tabung Haji, bersedia untuk terus berjuang membawa kebenaran mengenai permasalahan itu.

Beliau yang mendedahkan perkara ini sejak 1 Mac 2015 berkata, tindakannya itu membawa dirinya ke penjara dan sehingga kini kes berkenaan masih dibicarakan atas tuduhan memfitnah.

Bagaimanapun, Rafizi bersyukur kerana risiko diambil akhirnya membawa kepada satu tindakan ke atas institusi kewangan Islam itu.

“Dalam banyak pendedahan saya pernah terlibat, antara sumpah seranah paling teruk saya terima adalah bila saya bangkit bercakap mengenai kepincangan kewangan Tabung Haji.

“Saya mula mempersoalkan penglibatan dana Tabung Haji dengan 1MDB sejak Mac 2015. Berpuluh-puluh analisis saya mengenai masalah kewangan Tabung Haji selepas Bank Negara mengesahkan rizab Tabung Haji menjadi negatif.

“Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong UMNO, PAS mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di blog miliknya.

Rafizi berkata, beliau pernah ditahan dan didakwa, malah masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah Tabung Haji.

“Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya sudah menyebabkan ribuan umat Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji.

“Tetapi kini saya dimaklumkan laporan polis sudah dibuat terhadap bekas pengurusan kanan Tabung Haji, termasuk seorang pengurusan kanan yang menjadi saksi utama dalam kes saya di mahkamah.

“Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian.

“Jangan ulangi episod Tabung Haji walaupun faktanya jelas, ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:14 AM