DR Wan Azizah melawat tapak pameran di Laman Sayur di sekitar MAHA 2018 di MAEPS, Serdang, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
Meor Riduwan Meor Ahmad


AKTA Pembaziran Makanan bakal diwujudkan dalam usaha kerajaan menangani isu pembaziran makanan yang berleluasa di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan yakin jika pembaziran makanan dapat dikurangkan secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Saya menganjurkan masyarakat supaya mengelakkan tabiat pembaziran makanan. Secara purata rakyat Malaysia membuang satu kilogram makanan setiap hari.

“Jangan membazir...Ini mesej hendak saya sampaikan (bahawa) kerajaan sedang mengkaji dengan teliti keperluan menggubal Akta Pembaziran Makanan daripada pelbagai sudut.

“Sekiranya pembaziran makanan dapat dikurangkan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Serdang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan timbalannya, Sim Tze Tzin.

Dr Wan Azizah berkata, pada masa sama, beberapa langkah lain turut dipertimbangkan seperti mengenakan denda kepada pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan.

“Kita mempertimbangkan langkah termasuk Program Food Bank Malaysia yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila lebihan makanan diperoleh daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

“Program ini dijangka akan dilaksanakan di seluruh negara pada awal tahun hadapan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Menteri Perdagangan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menggesa diwujudkan akta berkenaan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut mengusulkan supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan pertanian organik tanpa penggunaan bahan kimia demi kesihatan.

Katanya, beliau tertarik dengan industri penanaman lada hitam di Julau, Sarawak yang menggunakan bahan kimia minimum sehingga mampu menghasilkan lada hitam berkualiti tinggi.

“Sekarang ini saya lihat pertanian di negara ini menggunakan banyak baja dan racun. Kita perlu berbalik kepada pertanian organik, melihat kepada (aspek) kesihatan dan apa kesan buruk kalau ada terlampau banyak bahan kimia ini.

“Apakah Malaysia boleh melaksanakan pertanian organik ini? Ini yang saya lontarkan kepada kementerian untuk memikirkannya.

“Saya difahamkan lada hitam dihasilkan di Julau berkualiti tinggi dan kurang penggunaan racun perosak, malah dibeli oleh Jepun dan Australia. Kita mampu melaksanakannya,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut berharap MAHA tidak menjadi sekadar satu pameran semata-mata.

Katanya, seiring dengan konsep MAHA kali ini, pengunjung sewajarnya memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam memajukan aktiviti agromakanan.

“Pameran kejayaan petani, penternak dan nelayan serta usahawan industri asas tani seharusnya menjadi inspirasi untuk mereka menceburi bidang keusahawanan pertanian.

“Kejayaan usahawan tani sehingga ke peringkat antarabangsa diharapkan dapat menangkis persepsi negatif terhadap bidang agromakanan dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh diterokai sebagai sumber rezeki dan yang menjana ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 2:44 PM