GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hasbi Sidek

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlakunya rasuah ketika Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu membabitkan Parlimen Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan berkenaan.

"Saya mengesahkan bahawa satu kertas siasatan dibuka mengenai dakwaan berlaku salah laku memberi rasuah ketika berlangsungnya PRU14 baru-baru ini.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai individu yang disiasat memandangkan siasatan kes ini masih berjalan. Jika terdapat sebarang kemajuan akan dimaklumkan kelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat lalu mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati terbukti wujudnya amalan rasuah diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Datuk C Sivarraajh.

Azizah berkata, wang itu diberikan sama ada secara terus oleh Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli atau melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kini Menteri Besar Pahang) atau ejennya untuk mempengaruhi pengundi untuk memilihnya.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran, 59, memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan bahawa keputusan (PRU14) bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Berita berkaitan:

  • Sivarraajh kemuka rayuan
  • PRK di Cameron Highlands pula...

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 2:51 PM