Muhyiddin beramah mesra bersama anggota polis yang bertugas semasa melawat Kuil Sri Mariamman, USJ 25. FOTO Sairien Nafis
Muhyiddin beramah mesra bersama anggota polis yang bertugas semasa melawat Kuil Sri Mariamman, USJ 25. FOTO Sairien Nafis
BERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor V Ganabatirau.

Ia susulan kenyataan dikatakan berbaur hasutan dan perkauman yang dikeluarkan kedua-dua ahli politik berkenaan berhubung isu kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di sini, pada Isnin lepas.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis akan menyiasat sesiapa yang mengeluarkan kenyataan tidak benar.

“Jika dia ada keluar kenyataan, tengoklah sama ada benar ia berbaur perkauman dan seumpamanya.

“Kita tengok kenyataan itu betul atau tidak, kalau ada asas-asas yang kukuh maka polis boleh bertindak,” katanya kepada pemberita selepas melawat kuil berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kemusykilan sesetengah pihak mengapa masih belum ada tindakan terhadap Waytha Moorthy dan Ganabatirau sedangkan polis telah menahan pengendali laman blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor memaklumkan telah membuka empat kertas siasatan dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung insiden yang berlaku di kuil berkenaan susulan laporan polis yang diterima mengenai penularan berita di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:06 PM