GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


DUA lelaki ditahan selepas didapati membawa pisau dan dadah di tepi jalan kawasan Perai, kelmarin.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 28 dan 31 tahun ditahan 3.30 pagi, selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan, sebelum pemeriksaan menemui pisau dan dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hanid berkata, polis merampas satu beg silang hitam, sebilah pisau lipat dan dua bungkus plastik mengandungi methamphetamine.

Menurutnya, semakan juga mendapati kedua-dua suspek terbabit mempunyai sebelas rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

“Dua suspek berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT dan ujian air kencing juga mendapati mereka positif methamphetamine.

“Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dikehendaki polis kerana kes pecah rumah berjaya ditahan.

Lelaki terbabit ditahan 1 pagi di rumah di Taman Perdana, Simpang Ampat, dekat Bukit Mertajam, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 9:34 PM