ROSAZLI meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta di Kilometer 63.2 Jalan Yong Peng-Kluang, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Adnan Ibrahim


ANGGOTA tentera maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas ke tengah jalan dan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 63.2 Jalan Yong Peng-Kluang, 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa, Sarjan Rosazli Masri, 30, dari Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Trendak, Melaka, dari arah Taman Seri Lambak menuju ke Batu 4, Kluang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mangsa yang menunggang seorang diri dipercayai hilang kawalan menyebabkan motosikalnya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dari arah bandar.

“Akibat pertembungan itu, mangsa terjatuh dan cedera parah di badan serta kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang cuba memberikan bantuan kecemasan.

“Mayat mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dan bedah siasat dilakukan pada 9 malam sebelum dituntut keluarga,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, mangsa dikebumikan di kampungnya di Taman Desa Harta Permai, Pontian, hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 3:19 PM