MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (depan sepuluh kiri) bergambar dengan pesawat penerbangan pertama AirAsia dari Singapura ke Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (depan sebelas kiri). FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KERAJAAN Perak merasakan terdapat keperluan membina lapangan terbang baharu di negeri ini bagi menyaingi pembangunan pesat tetapi mungkin tidak dibina di Seri Iskandar seperti dirancang kerajaan terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembinaan lapangan terbang baharu itu kini dirancang dibina di selatan Perak iaitu di kawasan berhampiran dengan lebuh raya.

“Oleh kerana negeri Perak sedang membangun dengan pantas, jadi kita memerlukan lapangan terbang yang baharu.

“Ia mungkin tidak dibina di Seri Iskandar kerana kerajaan negeri memikirkan ia lebih sesuai kalau dibuat di selatan Perak yang lebih dekat dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran laluan penerbangan Air Asia Singapura - Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat

Ahmad Faizal berkata, pemilihan lokasi itu akan membuatkan kerajaan Pusat atau negeri tidak perlu membina kemudahan laluan ke lapangan terbang baharu itu nanti.

“Selatan Perak bermakna ia mungkin dibina di Tapah, Bidor, Behrang atau Tanjung Malim membabitkan daerah Muallim atau Batang Padang,” katanya.

Ditanya sama ada LTSAS mampu menampung peningkatan jumlah penumpang, beliau berkata, setakat ini hanya 50 peratus daripada kapasiti lapangan terbang itu digunakan sepenuhnya, namun terdapat perancangan untuk memanjangkan lagi landasan sedia ada dan menambah baik atau memperbesar bangunan terminal sedia ada.

“Kerajaan negeri juga sudah menerima beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk membuat beberapa tarikan lain di sekitar lapangan terbang ini yang kita sambut baik dan jangka akan dimulakan tahun depan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, projek memanjangkan landasan itu dijangka tidak memerlukan kawasan perumahan berhampiran dipindahkan kerana hanya membabitkan kedua-dua hujung landasan dengan keseluruhan pemanjangan sebanyak 500 meter dan akan menjadikan landasan mempunyai jarak 2.5 kilometer.

Sementara itu, bercakap mengenai laluan baharu penerbangan AirAsia Singapura - Ipoh, beliau mengalu-alukan usaha dilakukan syarikat penerbangan terbabit yang juga laluan kedua dilancarkan selepas laluan Johor Bahru - Ipoh dilancarkan Oktober lalu.

“Kerajaan negeri percaya perkhidmatan penerbangan terus empat kali seminggu laluan baharu ini akan membantu merealisasi wawasan menjadikan Perak destinasi pelancongan utama di Malaysia dan akan berusaha memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik bagi menerima kedatangan lebih ramai pelancong,” katanya.

Riad pula berkata, sejak pelancaran laluan Johor Bahru - Ipoh dua bulan lalu, pihaknya sudah membawa hampir 10,000 penumpang yang terdiri daripada warganegara China, Indonesia, India dan Singapura.

“Laluan baharu Singapura - Ipoh ini adalah usaha kami memperluas rangkaian di Ipoh dan berharap dapat menyumbang kepada peningkatan pelancong yang mana kami juga merancang meningkatkan kekerapan jadual laluan ini dari empat kali seminggu kepada tujuh kali seminggu pada tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 4:36 PM