PESERTA program Kay Adventure 4X4 bertungkus-lumus melepasi laluan licin dan berlopak.
Mohamad Hussin

Kuala Lumpur: Kesukaran penduduk di pedalaman mendapatkan bekalan air bersih mendorong ahli kelab Kay Adventure 4x4 menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mereka.

Terbaru ahli kelab itu bersama sekumpulan warga Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan syarikat TechnipFMC (Malaysia) bergotong-royong memasang pam solar untuk kemudahan masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.

Penyelaras program Kay Adventure 4x4, Khairul Badri Abdul Basit berkata, mereka tidak patah semangat meskipun perlu meredah hutan belantara demi membantu masyarakat Orang Asli menikmati bekalan air bersih.

Katanya, teknologi tenaga solar itu menggunakan kepakaran daripada Jabatan Kejuruteraan Kuasa Elektrik UNITEN dan TechnipFMC.

“Program khidmat masyarakat ini membabitkan 80 peserta dan 24 kenderaan pacuan empat roda. Kami berusaha mengembangkan teknologi terkini untuk manfaat penduduk di pedalaman.

“Usaha ini juga secara tidak langsung dapat menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Selepas sistem berkenaan dipasang, penduduk di Pos Bihai menikmati bekalan air bersih yang ditapis untuk kegunaan harian mereka,” katanya.


PESERTA program membantu memasang pam solar.

Turut menyertai program berkenaan ialah Ketua Jabatan Kejuruteraan Kuasa Elektrik UNITEN, Prof Madya Dr Muhamad Mansor dan Ahli Jawatankuasa Kemampanan TechnipFMC, Norlinah Mohd Ali.

Pada program itu, TechnipFMC turut menyumbang RM35,000 untuk membina dan memasang pam air serta rawatan pemeriksaan kesihatan.

Khairul Bahri berkata, penduduk selama ini bergantung sepenuhnya kepada sungai berhampiran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Namun air yang kelihatan bersih dan jernih ini digunakan secara terus tanpa dirawat. Tapi kalau pada musim hujan, air bertukar warna menjadi keruh dan berlumpur, sekali gus tidak selamat untuk diminum.

“Menggunakan sistem yang dipasang itu, penduduk dapat menikmati sumber air yang bersih secara berterusan tanpa mengira musim,” katanya.

Menurutnya, proses memasang sistem berkenaan mengambil masa selama dua hari dan dilakukan secara gotong-royong.

“Kesan daripada kerja amal di kawasan pedalaman dengan laluan yang mencabar mengajar sukarelawan dan pemandu pacuan empat roda erti kerjasama, persahabatan dan tolak ansur,” katanya.


PROSES pemasangan pam air yang dijalankan secara bergotong-royong untuk kemudahan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:07 AM