FOTO Hiasan
Norrasyidah Arshad


KERAJAAN Selangor akan mempertimbangkan memberi ganjaran kepada peniaga yang menyediakan penyedut minuman atau straw keluli tahan karat (stainless steel straw) kepada pelanggan.

Ia berikutan tiada pelaksanaan pemberian straw plastik secara automatik di negeri ini pada tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy San berkata, tindakan itu bagaimanapun perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mahu dilaksanakan secara serius.

“Jika di luar negara, ada ganjaran diberikan kepada mereka yang tidak menggunakan beg plastik.

Mereka antaranya akan diberikan tambang bas percuma untuk pergi ke sesuatu tempat.

“Jadi, perkara ini (pemberian ganjaran) boleh dipertimbangkan pada masa akan datang,” katanya ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Wong Siew Ki (DAP-Balakong) meminta pandangan mengenai ganjaran terhadap peniaga yang menyediakan straw keluli tahan karat berkenaan.

Loy Sian (PKR-Kajang) berkata, straw plastik hanya akan diberikan atas permintaan pelanggan sahaja selain peniaga restoran tidak digalakkan menyediakannya di kaunter mereka.

“Ini (tidak memberi straw plastik secara automatik) hasrat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri juga tidak bercadang mengenakan caj ke atas penggunaan penyedut minuman berkenaan,” katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri turut mensasarkan Selangor menjadi negeri bebas sepenuhnya penggunaan plastik pada 2025,

“Sasaran berkenaan lebih awal lima tahun berbanding perancangan Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan negara ini bebas plastik sepenuhnya pada 2030.

“Kita mahu pembekal menghasilkan bahan ganti kepada plastik seperti plastik biodegradasi atau beg kertas kitar semula dalam jumlah yang wajar dengan harga berpatutan.

“Jika ia tidak dapat dilaksanakan, pastinya plastik tetap akan menjadi pilihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:10 PM