POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mahu semua pihak yang terbabit dalam perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini, patuh dengan syarat dan undang-undang yang ditetapkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akur dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pemilik premis meluluskan perhimpunan berkenaan.

Mohamad Fuzi bagaimanapun berkata, pihaknya akan membuat persiapan untuk memantau perhimpunan yang bakal diadakan di Jalan Raja, Kuala Lumpur.

“Kita akan membuat pemantauan dan akur dengan keputusan DBKL memandangkan premis di bawah bidang kuasa DBKL. Kita akan buat persiapan yang perlu untuk memastikan perhimpunan yang diadakan itu mengikut saluran undang-undang dan tidak menimbulkan kekecohan serta masalah keselamatan.

“PDRM akan keluarkan surat kebenaran kepada penganjur perhimpunan sama ada hari ini atau esok,” katanya sejurus menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Kolej UNIKOP, milik Koperasi PDRM, di Maktab PDRM, dekat Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sudah memberi peringatan kepada pihak penganjur supaya peserta tidak menimbulkan kekecohan ketika perhimpunan.

“Kita akan buat pemantauan rapi, kami harap tidak akan berlaku kekecohan. Kami sudah ingatkan penganjur supaya mematuhi peraturan dan tidak melanggar peruntukan undang-undang.

“DBKL sudah bagi kebenaran tetapi ada syarat tertentu. Mereka perlu patuh,” ulasnya lagi.

Semalam, DBKL meluluskan perhimpunan berkenaan dengan syarat penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula 2 hingga 6 petang.

Susulan itu, Dataran Merdeka dan Jalan Raja selain beberapa jalan berhampiran lokasi itu akan ditutup bermula Jumaat.

Permohonan mengadakan perhimpunan itu dibuat tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Persatuan Bekas Anggota Tentera Tidak Berpencen (Daulat).

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri pada kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:21 PM
PESERTA himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dihadapan bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah