LAPORAN portal berita Harian Metro pada 20 Novemer lalu mengenai Norharizan menjual nasi berlauk pada harga RM3.50 sepinggan di kedainya di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SEJAK cerita mengenai kedai saya tular selepas disiarkan di Harian Metro beberapa minggu lalu, pelanggan bertambah tiga kali ganda.

“Bukan hanya orang tempatan, malah pelanggan dari negeri lain serta pelbagai bangsa datang untuk menikmati nasi berlauk RM3.50,” kata Noharizan Hassan, 40, peniaga nasi berlauk RM3.50 sepinggan ketika ditemui di kedainya di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu, hari ini.

Noharizan atau lebih mesra dipanggil Mek Jane berkata, dia tidak menyangka sambutan diterima berlipat kali ganda selepas ia dilaporkan seterusnya menjadi tular di media sosial.

“Paling jauh, ada pelanggan dari Pulau Pinang sanggup datang untuk menikmati hidangan RM3.50 itu selepas membaca mengenainya di Harian Metro.

“Paling membuatkan saya teruja apabila bekas Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) turut singgah makan di sini,” katanya.

Sejak dilaporkan di Harian Metro, artikel mengenai nasi berlauk pada harga RM3.50 yang dijual di kedai Noharizan itu mendapat lebih 20,000 ‘tanda suka’ dan dikongsi hampir 1,000 orang.

Noharizan berkata, terbaru dia memperkenalkan hidangan agak unik iaitu nasi ganja dengan harga RM4 selain nasi goreng ikan istimewa.

“Seronok apabila perniagaan dijalankan mendapat sambutan dan reaksi positif daripada semua pelanggan.

“Saya berniaga sambil beramal, justeru sentiasa terbuka sekiranya dikritik dan sentiasa menambah baik perniagaan supaya memberi keselesaan kepada pelanggan.

“Niat asal saya berniaga ialah untuk meringankan beban pelanggan yang kurang berkemampuan justeru harga murah akan sentiasa dikekalkan,” katanya.

Pada 20 November lalu, Harian Metro melaporkan seorang peniaga di Kampung Losong Atap Zin menjual satu hidangan nasi berlauk dengan harga RM3.50 kerana simpati dengan nasib nelayan yang hilang sumber pendapatan pada musim tengkujuh.

Pelanggan bebas untuk memilih daripada 11 jenis lauk pauk disediakan seperti ikan singgang, ayam masak hitam penang, kari gam ayam dan ayam goreng berempah.

Berita berkaitan

'Murahnya nasi berlauk...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 5:17 PM