Kaimiraa menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu kini semakin kronik.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bagai jatuh ditimpa tangga apabila penyakit buah pinggang tahap empat yang dihidapi seorang ibu tunggal semakin kronik dan kedua-dua matanya kini rabun teruk sejak dua minggu lalu.

Wanita berkenaan kini tidak mampu melakukan sebarang kerja kerana cepat penat dan penglihatannya kabur.

Ibu tunggal, Kaimiraa Hussin, 39, yang tinggal di Kampung Pauh Dara, Semerak, Pasir Puteh, berkata, dia menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu dan kini semakin kronik.

Katanya, pada masa sama dia turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi hingga memberi kesan kepada penglihatan.

“Disebabkan komplikasi pelbagai penyakit terutama buah pinggang saya perlu menjalani rawatan seminggu sekali di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Saya juga memerlukan RM2,000 untuk pemasangan fistula di bahagian lengan bagi memudahkan rawatan dialisis,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana tidak bekerja dan hanya berharap wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan.

Katanya, wang itu juga digunakan untuk menyara kehidupan harian dan persekolahan anak tunggalnya, Mohd Amirul Khairul Bahrain, 14.

“Saya hanya berharap bantuan daripada adik-beradik dan jiran tetangga yang sentiasa membantu termasuk adik bongsu yang membawa saya ke HRPZ II untuk rawatan.

“Kos ulang alik dari rumah di Pasir Puteh ke Kota Bharu mencecah RM50 seminggu,” katanya.

Kepada orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 03090020786914 atas nama Kaimiraa Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 9:50 AM