Nor Azizah Mokhtar


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang juga personaliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbangsa Punjabi paling ‘popular’ di negara ini, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh secara rasmi bersara daripada perkhidmatannya, hari ini.

Ketokohannya sebagai Pengarah JSJK ketika mengendalikan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyelesaikan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa dalam tempoh dua hari semasa menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, menjadikannya beliau amat terkenal sehingga dikenali segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Amar Singh, 60, menamatkan perjalanan karier selama 35 tahun dengan cemerlang sebagai satu-satunya pegawai kanan polis berbangsa Punjabi yang dilantik menjadi Pengarah JSJK mulai 13 Oktober tahun lalu dan sepatutnya bersara wajib pada 6 Jun lalu.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) menyambung khidmatnya sebagai Pengarah JSJK secara kontrak selama enam bulan susulan pembabitannya mengendalikan siasatan skandal 1MDB.

Susulan persaraannya, tugasnya akan dipikul Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang akan memangku jawatan Pengarah JSJK buat sementara waktu.

Upacara serah terima tugas di antara Saiful Azly dan Amar Singh yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Amar Singh dalam ucapannya menzahirkan rasa terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM yang memberi kepercayaan selama 35 tahun beliau berkhidmat dalam pasukan itu sehingga menjawat pelbagai jawatan.

MOHAMAD Fuzi (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Amar Singh (kiri) dan Saiful Azly di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.

“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan barisan pengarah yang lain atas kepercayaan diberikan dalam melaksanakan tugas saya selama ini.

“Saya amat sukakan kerja saya sebagai anggota polis dan bila kita sukakan kerjaya kita, kita tidak tidak menganggap kerja itu sebagai satu yang membosankan atau memenatkan, sebaliknya ia menyeronokkan.

“Menjadi satu kepuasan apabila kita dapat menyelesaikan tugas yang diberikan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau yang lahir pada 6 Jun 1958 di Kinta, Perak mula menyertai PDRM pada 27 Februari 1983 sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis.

Amar Singh berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya (UM) serta berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Buckingham serta Sijil Amalan Guaman (CLP) daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

Selain itu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah dari UM dan Diploma Amalan Undang-Undang Syariah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyempurnakan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 90 penerima terdiri daripada anggota dan pegawai polis Kontinjen Bukit Aman pada majlis sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 1:11 PM