PENGARAH AADK Kelantan, Rohayu Ahmad, bertemu dengan OKP wanita selepas program Amanat Mufti kepada OKP di Kota Bharu, semalam. FOTO Fathil Asri.
Hazira Ahmad Zaidi dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin


TANGISAN tiga anak selepas melihat dirinya ditangkap pihak berkuasa menyebabkan seorang wanita nekad untuk berhenti daripada penagihan dadah.

Ibu tunggal dikenali sebagai Gie, 34, itu mengakui terjebak dengan dadah jenis pil kuda selepas setahun mendirikan rumah tangga dengan bekas suaminya pada 2008, yang juga seorang kakitangan awam.

“Pada mulanya, bekas suami hanya mengajar saya merokok dan lama-kelamaan dia memujuk saya untuk mencuba dadah sedikit demi sedikit sehingga sebati dengan diri.

“Selepas bercerai dengan bekas suami, saya sekali lagi terjebak dengan najis dadah kerana termakan pujukan seorang rakan sehingga ditangkap pihak berkuasa dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya ketika ditemui selepas Program Amanat Mufti Kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, selepas ditangkap dan menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Bachok, banyak ilmu dan perkara dipelajari supaya tidak lagi terjebak dalam penagihan dadah.

“Ketiga-tiga anak saya berumur antara tujuh hingga 12 tahun banyak memberi kata-kata semangat dan tidak pernah membenci saya apabila mereka tahu hal sebenar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wanita yang ingin dikenali Leha, 25, berkata keluarganya menyerahkannya kepada AADK di atas dasar kasih sayang dan bimbang akan keadaan dirinya.

“Mereka menghantar saya selepas mengesyaki saya mengambil bahan terlarang itu semula setelah berhenti selama dua tahun.

“Perilaku saya yang selalu panas baran selepas mengambil dadah menimbulkan syak oleh keluarga menyebabkan saya kemudiannya dirujuk kepada AADK Kelantan,” katanya.

Menurutnya, dia terjebak dengan penyalahgunaan dadah seawal usia 18 tahun selepas dipengaruhi keluarga terdekat dengan menggunakan syabu dan pil kuda.

Katanya, dia melihat sepupu berusia 20-an menggunakan dadah dan perasaan ingin tahu timbul dalam diri untuk mencuba syabu dan pil kuda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 3:20 PM