KEADAAN air paip di rumah Firdaus yang bertukar warna kemerah-merahan sejak dua hari lalu. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


KIRA-KIRA 100 rumah di Taman Yani dan Kampung Melayu serta perumahan berhampiran di Simpang Renggam mendakwa kehidupan harian mereka terjejas apabila kualiti bekalan air di kawasan mereka merosot dan berubah warna menjadi kemerah-merahan sejak dua hari lalu.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Firdaus, 40, berkata, masalah itu semakin ketara sejak kebelakangan ini dan kerap berlaku sehingga menyukarkan kehidupan penduduk setempat terutama untuk kegunaan makan dan minum kerana bimbang kesihatan terjejas.

“Seperti di rumah saya sendiri, saya tidak berani untuk menggunakan air paip seperti ini untuk mandi dan minum kerana risau membahayakan kesihatan kerana air yang keluar seperti berkarat dan berwarna kemerah-merahan.

“Isteri saya juga tidak boleh mencuci pakaian menggunakan air ini dan terpaksa menggunakan cara lain seperti menghantar ke dobi bagi mengelak pakaian yang dibasuh rosak atau bertukar warna, selain air untuk memasak dan minum terpaksa dibeli,” katanya kepada NSTP di sini hari ini.

Menurut Firdaus, selain itu, berkemungkinan mesin basuh penduduk di kawasan terbabit juga akan rosak berikutan keladak yang terlalu tebal keluar melalui air paip.

Katanya, penduduk di kawasan perumahannya yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air paip mengakui masalah terbabit mengganggu kehidupan sehariannya dan meminta tindakan pihak yang bertanggungjawab bagi mengatasi masalah ini.

“Penduduk terpaksa menunggu antara dua hingga tiga hari untuk mendapatkan air paip ini kembali jernih dan sepanjang tempoh itu kami terpaksa membeli air tapis sebagai kegunaan harian.

“Kejadian seperti ini akan berlaku setiap kali bekalan air dihentikan dan ia memberikan tekanan kepada kehidupan penduduk di Simpang Renggam ini,” katanya.

Firdaus turut berharap tindakan sewajarnya oleh pihak berkaitan harus dilakukan segera bagi mengatasi masalah itu daripada terus berlaku agar penduduk menerima perkhidmatan terbaik daripada apa yang mereka bayar setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 4:47 PM