YAZID Haron menunjukkan lengan kiri ibunya Siti Jauriah Abd. Ghani yang tersepit selama lebih 72 jam di dalam lubang air bilik air kediaman ibunya di Taman Perdana di Bukit Siput Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“SAYA bersyukur ibu selamat walaupun kira-kira 72 jam tanpa sebarang makanan dan minuman kerana lengan kirinya tersekat dalam lubang di bilik air rumah,” kata Imam Masjid Kampung Kuala Paya, Yazid Haron.

Siti Jauriah Abd Ghani, 70, ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh Yazid, 50, yang sebelum itu beberapa kali menghubungi ibunya yang tinggal berseorangan di Taman Perdana di Bukit Siput, dekat Segamat.

Yazid berkata, 8.30 pagi tadi, dia sekali lagi menghubungi ibunya dan mahu mengajak bersarapan di gerai berhampiran tetapi panggilannya tidak dijawab menyebabkan dia bersama isteri, Kalsom Salan, 46, bergegas ke rumah ibunya.

“Saya rasa tidak sedap hati. Bila sampai ke rumah, saya melihat pagar dan pintu berkunci. Saya memberi salam dan sayup kedengaran suara ibu menjawab salam. Ibu memaklumkan tidak boleh membuka pintu kerana dia tersekat dalam bilik air. Saya terus memanjat pagar belakang dan memasuki rumah melalui pintu dapur yang tidak berkunci.

“Saya terkejut melihat ibu dalam keadaan terlentang dan lengan kirinya hingga ke paras bahu terperosok dalam lubang di bilik air.

“Saya bersama isteri cuba menarik lengan ibu tetapi gagal. Saya juga bimbang berlaku kecederaan yang lebih teruk kepada lengannya.

“Pada masa sama saya sempat menyuapkan sedikit nasi lemak dan memberikan minuman panas kepada ibu sementara menunggu pasukan bomba tiba bagi membantu mengeluarkan tangan ibu,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Daerah Segamat, hari ini.

Yazid berkata, pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan tangan ibunya yang kelihatan lebam kesan kecederaan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, ibunya dilaporkan dalam keadaan stabil dan setakat ini pihaknya masih menunggu laporan pemeriksaan x-ray bagi mengenal pasti kesan kecederaan ibunya, selain turut menjalani ujian darah.

Beliau berkata, dia dan semua 10 adik beradik sudah banyak kali memujuk ibu mereka tinggal bersama anak-anak selepas bapa meninggal dunia beberapa tahun lalu tetapi ibunya tetap memberi alasan lebih selesa tinggal di rumah terbabit.

Bagaimanapun katanya, mereka menghubungi ibu setiap hari tetapi kadang-kadang panggilan tidak dijawab kerana ibu tertidur atau telefon diletakkan jauh dari tempatnya menyebabkan mereka tidak mengesyaki perkara yang buruk.

Katanya, ibu juga pernah beberapa kali terjatuh di bilik air kerana gemar mencuci bilik air, selain kakinya agak lemah kerana faktor usia tetapi mereka menghormati permintaan sebelum ini untuk tinggal bersendiri.

“Bagaimanapun susulan insiden ini, kami akan mencari jalan terbaik bagi mengelak ia berlaku lagi,” katanya.

Berita berkaitan

'Lamanya tiga hari tangan tersepit...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 6:04 PM