GAMBAR hiasan
Siti Nur Mas Erah Amran


HASIL kajian berhubung penggubalan akta khusus menangani gangguan seksual dijangka siap sepenuhnya pada hujung Januari depan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, kementerian ketika ini menunggu hasil kajian impak untuk dijadikan panduan menggubal akta itu.

“Kajian dijalankan selama tiga bulan untuk mengkaji kelompongan dalam perundangan atau peraturan sedia ada, merangkumi sektor awam dan swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kajian dijangka siap akhir bulan depan, manakala hasilnya akan dibentangkan kepada semua ahli Parlimen sebelum digubal.

“Kita sedia maklum isu ini penting kerana kes berkaitan gangguan seksual mula tersiar di media massa, manakala pengadu juga sudah berani tampil ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Yeoh berkata, kementerian juga sudah menjalankan sesi libat urus bersama agensi kerajaan, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kesaksamaan Gender.

“Libat urus ini akan diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri.

“Antara isu yang diketengahkan adalah keagamaan, perundangan sivil dan syariah, serta isu budaya membabitkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang tidak diiktiraf di negara ini.

“Kita beri jaminan bahawa undang-undang ini tidak akan digubal sebelum mendapat pandangan semua ahli Parlimen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 8:04 PM