LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.


POLIS sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian bot tunda ditembak sekumpulan lelaki lengkap bersenjata sehingga menyebabkan seorang tekong warga Indonesia cedera di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, empat suspek dipercayai naik ke bot tunda itu sebelum melepaskan tembakan.

“Kami masih mengumpul lebih banyak maklumat berhubung kes ini, tetapi setakat ini... tiada apa yang diambil dari bot tunda.

“Mangsa bertindak mendapatkan bantuan sebaik suspek melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, suspek melarikan diri menggunakan bot laju, namun polis masih mengumpul maklumat terperinci berhubung perkara itu.

Difahamkan, suspek turut menyerang beberapa bot lain yang terletak tidak jauh dari bot tunda berkenaan.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sekiranya ada tebusan dilarikan suspek dari bot kedua yang dijadikan sasaran kumpulan berkenaan.

Terdahulu, NSTP melaporkan bot tunda Mantran 2, yang membawa 13 kru terdiri daripada dua warga tempatan dan 11 warga Indonesia dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah bot berwarna hitam dinaiki empat individu dengan dua daripadanya memiliki senjata api dipercayai M16 menghampiri bot tunda terbabit.

Suspek kemudian melepaskan tembakan secara rambang sebelum beredar.

Akibat tembakan itu, tekong berusia 40-an itu cedera di bahagian paha selepas terkena tembakan, manakala semua kru tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 3:16 PM