CHE Mohd Ibrahim (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ahmad Saidi pada Majlis Penyerahan Sumbangan al-Quran dan Kelengkapan Ibadat Pertubuhan WARISAN kepada Penjara Marang, semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
CHE Mohd Ibrahim (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ahmad Saidi pada Majlis Penyerahan Sumbangan al-Quran dan Kelengkapan Ibadat Pertubuhan WARISAN kepada Penjara Marang, semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


BADAN Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin mendapatkan khidmat sukarelawan untuk menjalankan aktiviti amal boleh memohon Orang Diparol (ODP) daripada Jabatan Penjara Malaysia Terengganu.

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah, berkata pihaknya mengalu-alukan permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan perkhidmatan sukarelawan ODP di negeri ini.

“Kami mempunyai 126 ODP di seluruh negeri termasuk di Kuala Terengganu seramai 71 orang.

“ODP terdiri daripada penjenayah yang melakukan kesilapan ringan seperti penagihan dadah atau peras ugut, tetapi dibenarkan untuk hidup dalam masyarakat kerana tingkah laku baik.

“Mereka dinilai berdasarkan tingkah laku yang baik dan menjalani hukuman di bawah program ODP berdasarkan tempoh hukuman masing-masing.

“Mereka sentiasa dipantau sekurang-kurangnya dua minggu sekali dan jika melakukan kesilapan mereka akan dikenakan hukuman di penjara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan al-Quran dan Kelengkapan Ibadat Pertubuhan Kebajikan Warisan Melayu Islam Malaysia (WARISAN) di Penjara Marang, Marang, semalam.

Turut hadir, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latif dan Presiden WARISAN Terengganu, Che Mohd Ibrahim Che Ghani dan Timbalannya Ibrahim Zakaria.

Ahmad Saidi berkata, pembabitan ODP dengan program kemasyarakatan dianjurkan NGO akan membantu pemulihan ODP itu ke arah yang lebih baik.

“Kami harap masyarakat menerima ODP tanpa sebarang rasa prejudis supaya mereka tidak berasa tersisih.

“Sokongan masyarakat akan membantu mereka untuk tidak lagi terbabit dengan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak NGO datang menghulurkan sumbangan kepada penjara di negeri ini.

Menurutnya, Penjara Marang mempunyai 2,613 penghuni dan memerlukan lebih banyak kelengkapan ibadat termasuk surah Yasin, sejadah dan pakaian solat untuk kegunaan semua penghuni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 4:03 PM