(DARI kiri) Mohammad Faiz, Effendy dan adiknya, Azlan kini diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh lelaki di Kampung Baru Alor Pasir, Bukit Tuku, Pasir Mas, Ogos lalu. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


POLIS sedang mengesan tiga lelaki termasuk dua beradik untuk membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Kampung Baru Alor Pasir, Bukit Tuku, Pasir Mas, Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, suspek dikenali Noor Azlan Ismail, 31, abangnya, Effendy Ismail, 35, dan Mohammad Faiz Abd Ghani, 26.

“Setakat ini, kami berjaya menahan seorang suspek berusia 23 tahun yang juga adik kepada Noor Azlan dan Effendy selepas terbabit dalam kejadian pecah bengkel motosikal di Tok Uban bulan lalu.

“Kini, kami berusaha mengesan tiga lagi suspek selepas siasatan mendapati mereka terbabit dalam pergaduhan sebelum mangsa ditemui mati di belakang sebuah rumah,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan, polis menerima maklumat awam mengenai penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan di kepala dan muka selain beberapa anggota badan lain di belakang sebuah rumah di Kampung Baru Alor Pasir, Bukit Tuku.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, polis turut mengesan lelaki dikenali sebagai Saw Kim San, 32, untuk siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, Pasir Mas, Ogos tahun lalu.

“Suspek dipercayai menikam mangsa dengan pisau sebelum melarikan diri dan sehingga kini, suspek masih belum dapat dikesan.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami percaya empat lelaki ini masih lagi berada di negara ini kerana tiada rekod pergerakan ke luar negara dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai semua individu ini boleh segera salurkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 3:23 PM