TCHEE Fah Hin menerima kunjungan Long (kanan). FOTO Muhd Amirul Faiz Ahmad
Muhd Amirul Faiz Ahmad


“MELAYU Islam, Cina Islam datang ke rumah saya beri bantuan, orang bukan Islam juga datang bagi bantuan,” kata Tchee Fah Hin, 66, bapa kepada mendiang, Tchee Kiom Joong, 24, yang maut dalam kejadian letupan di pusat beli-belah CityOne Megamall, Kuching, Selasa lalu.

Fah Hin yang lumpuh akibat kemalangan sejak 30 tahun lalu, hanya mampu duduk di kerusi plastik sambil memuji kemurahan hati masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama, tidak putus-putus memberi bantuan sama ada dari segi kewangan dan sokongan moral.

Walaupun sedih dengan kehilangan anak bongsu menyara kehidupannya, Fah Hin yang juga bekas tukang kayu, masih kental bertahan hidup di rumah uzur, selain menaruh harapan agar kerajaan negeri mampu menyediakan rumah kos rendah untuk dirinya menghabiskan sisa hidup yang tinggal.

Ironinya, walaupun pernah bekerja sebagai tukang kayu, kehidupan Fah Hin begitu menyayat hati dengan dinding rumah kayunya sudah banyak lompang dan mereput, dengan atap kediamannya seperti menunggu masa untuk roboh, kerana dirinya tidak lagi mampu bergerak.

“Saya minta maaf tidak mampu sediakan tempat baik kepada kamu (media), saya tidak dapat berjalan dan tidak dapat berkemas,” kata Fah Hin sambil menahan sebak ketika menerima kunjungan pihak media di sini, hari ini.

Sehingga kini, beliau sudah menerima bantuan kewangan hasil sumbangan orang ramai berjumlah RM1,600.

Dalam kejadian 3.30 petang, Selasa lalu, rangkaian francais makanan segera Korea, NeNe Chicken Malaysia, meletup dipercayai berpunca daripada kebocoran gas ketika kerja ubah suai sedang dijalankan.

Selain Kiom Joong, Chin Hsien Loong, 29, dan O Kui Lim, 49, turut maut, manakala 41 mangsa lain cedera dengan kebanyakan mereka mengalami luka terbakar.

Sementara itu, Pengarah Kenbest Sdn Bhd yang juga pemilik CityOne Megamall, Stephen Long Tine Chung, ketika mengunjungi Fah Hin, berkata beliau cukup sedih atas apa yang menimpa keluarga mangsa dan akan dari masa ke masa berhubung bagi memudahkan beban ditanggung.

“Restoran NeNe Chicken itu sepatutnya boleh dibuka pada Rabu dan kita semua boleh makan ayam, namun apa boleh buat letupan berlaku sehari sebelumnya. Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kerugian wang boleh dicari ganti, tetapi kehilangan nyawa adalah sesuatu yang tidak dapat dicari ganti.

Sementara itu, Tine Chung ketika mengulas lanjut, berkata CityOne Megamall dijangka beroperasi esok atau selewat-lewatnya Isnin ini selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, termasuk pasukan forensik dari Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 9:29 PM