Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PEGAWAI polis berpangkat Asisten Superintendan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak yang ditahan bagi siasatan berhubung penerimaan rasuah berjumlah RM8,000 semalam, direman selama tiga hari.

Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Siti Hafizah Jaafar bagi membolehkan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek berusia 44 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret di Ipoh pada 11 pagi oleh pegawai SPRM dengan berpakaian baju lokap SPRM.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman suspek selama tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

NSTP semalam melaporkan, suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah itu ditahan di IPD berkenaan pada 5.27 petang.

Suspek ditahan berhubung siasatan berkaitan penerimaan wang rasuah bagi mendapatkan kelulusan pembaharuan lesen perniagaan barang lusuh yang diusahakan sebuah syarikat.

Difahamkan, dua transaksi wang rasuah berjumlah RM4,000 dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya dan tunai RM4,000 berlaku sekitar Mac hingga Jun lalu.

Berita berkaitan

'Pegawai polis ditahan rasuah'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 1:56 PM
PEGAWAI polis berpangkat ASP di IPD di Perak yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah berjumlah RM8,000 semalam, direman selama tiga hari, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.