NOR Azmi (kiri) menunjukkan besi pencangkuk dirampas daripada seorang lelaki selepas memukul abangnya di sebuah jeti di Jalan Lima, Bagan Sungai Besar, pada sidang media IPD Sabak Bernam, hari ini. FOTO ihsan polis.
Amirul Aiman Hamsuddin


GARA-GARA perselisihan faham mengenai minyak enjin bot, seorang lelaki tergamak memukul abangnya sehingga mati di sebuah jeti di Jalan Lima, Bagan Sungai Besar, Sungai Besar, petang semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa, Ng Bu Tong, 61, parah di bahu kanan selepas dipercayai dipukul adiknya berusia 52 tahun menggunakan besi pencangkuk.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek sebelum itu bergaduh dengan mangsa mengenai minyak enjin bot.

“Disebabkan tidak berpuas hati, suspek menggunakan besi pencangkuk yang berada di lokasi kejadian dan memukul mangsa di bahagian bahu kanan.

“Pukulan itu mengakibatkan mangsa cedera sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di HTAJ pada 5.20 petang semalam akibat kecederaan dialami dan bedah siasat dilakukan jam 12 tengah hari, hari ini.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau ditahan di pekarangan IPD Sabak Bernam pada 8.50 malam dan direman bermula hari ini sehingga 14 Disember.

Difahamkan, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor turut turun di lokasi kejadian dan menemui besi pencangkuk dalam sebuah bot pukat tunda terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 2:10 PM